Nabi S.A.W Sentiasa Bersama-sama Golongan Tertindas dan Miskin

Assalamualaikum, Lama sudah tak update blog.Alhamdulillah hari ini dengan izin Ilahi dapat jua saya dapat berkongsi ilmu kepada anda semua.Semoga kita sama-sama dapat mengambil pengajaran serta ikhtibar daripada post kali ini.Selamat membaca :)


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
In The Name of Allah, Most Gracious, Most Merciful .

Allah menyebutkan perihal kewujudan Nabi Muhammad di tengah-tengah kaum muslimin dalam surah at-Taubah, ayat 128 seperti berikut,"Datang kepada kamu seorang rasul dari kaum kamu sendiri. Dia merasa penderitaan kamu dan menginginkan keimanan serta keselamatan bagi kamu. Dia belas kasihan lagi penyayang kepada orang mukmin."

Dalam berdakwah, Nabi Muhammad memberi perhatian kepada kaum yang lemah. Nabi membebaskan, memperjuangkan dan menemani serta hidup diantara kaum yang tertindas seperti orang yang dianiaya, dizalimi dan orang miskin. Oleh sebab itulah, nabi mendapat gelaran ' Abu Masakin' yang bererti 'bapa orang-orang miskin'.


Apabila ada orang bertanya kepadanya dimana beliau selalu berada, nabi menjawab, "Carilah aku di antara orang-orang yang lemah diantara kamu. Carilah aku ditengah-tengah kelompok kecil diantara kamu." Nabi sering berdoa kepada Allah dengan doa berikut,"Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan bangkitkan aku pada hari kiamat juga bersama-sama orang miskin."

Perjuangan nabi ditengah-tengah masyarakat semakin lama semakin mendapat perhatian dan simpati masyarakat secara meluas. Namanya yang harum bukan hanya dirasakan oleh kaum muslimin, tetapi juga oleh para musuhnya. Ini kerana Nabi Muhammad memperjuangkan nasib semua manusia secara universal.

Peranan Nabi Muhammad dapat dibahagikan sebagai nabi dan rasul, sebagai hakim, sebagai mufti yang memberi fatwa, sebagai pemimpin masyarakat dan Muhammad dalamkehidupan peribadinya. Sewaktu beliau berbicara dalam kedudukannya sebagai Rasulullah, perkataannya pasti benar kerana Allah membimbingnya secara langsung.

Salah satu faktor kejayaan Nabi Muhammad adalah kekuatannya memegang akidah dan mampu menolak sebarang godaan. Beliau berkata."Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan agama ini, aku tidak akan meninggalkannya."

Dengan kekuatan itu, nabi membimbing para sahabat dan kaum muslimin sehingga mereka memiliki empat kebiasaan yang positif iaitu membaca Al-Quran, berdakwah, berbincang perihal ilmu dan berdagang. Pada waktu yang sama, mereka melaksanakan ibadah dengan baik misalnya bersilaturrahim, berpuasa sunat, mengerjakan solat malam dan sebagainya.
Allah melantik Nabi Muhammad SAW sebagai 'ejen rahmatan lil 'alamin' bagi seluruh umat manusia. Baginda merupakan nabi dan rasul antarabangsa kerana risalahnya bersifat universal dan global, ditujukan kepada seluruh manusia, semua bangsa dan bahasa sehingga hujung zaman. Sesungguhnya, risalah atau ajaran Nabi Muhammad itu sempurna bagi memimpin manusia dalam mencapai kebahagiaan didunia dan akhirat.

*Semoga kita semua dapat mencontohi Nabi Muhammad SAW. Inilah idola kita bukannya artis atau siapa-siapa.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © The Truth Of Life