0

Biar Miskin Harta Jangan Miskin Jiwa

Syukur kepada Ilahi,boring juga rasa asyik duduk depan pc, tanpa buat benda yang berfaedah..rasa nak post pulak article kat blog untuk dikongsi kepada rakan-rakan semua. Jom relax dengan membaca perkara yang berfaedah untuk mengisi masa di petang ramadhan ini. :)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
In The Name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Ramai orang tidak dapat membezakan antara keseronokan dengan kebahagian atau ketenangan jiwa. Atau mungkin mereka tidak pernah menikmati kebahagian, sekalipun seringkali mengecapi keseronokan. Begitu ramai penghibur yang bertaraf ‘five stars’ yang berjaya menjadikan ribuan peminatnya bersorakan gembira apabila melihat pertunjukannya, tetapi dia sendiri tidak bahagia. Maka tidak hairanlah jika ramai artis ternama terlibat dengan dadah dan hidup dalam tekanan.Sesungguhnya keseronokan bukan semestinya kebahagian atau ketenangan jiwa.

Sesiapa yang kita lihat Allah SWT tidak merezekikan kepadanya keseronokan atau kegembiraan tertentu, bukanlah bererti Allah tidak memberikan kepadanya ketenangan jiwa. Maha luas kurniaan Allah SWT, betapa ramai orang yang kurang harta dan rupa, tetapi lebih bahagia daripada yang hartawan dan rupawan..

Tidak semestinya seorang raja, presiden, perdana menteri dan menteri itu lebih bahagia perasaan dan jiwanya dari seorang guru tidak dipagari pengawal, tidak dikenali ramai melainkan murid-muridnya yang masih mentah dan terpencil.
Entah berapa ramai mereka yang berjawatan besar itu yang jauh lebih serabut perasaan dan jiwa mengenangkan masa depan kedudukan, pengikut dan nasibnya.

Lebih daripada keserabutan ribuan manusia yang lain. Mungkin meja makan orang besar itu hebat, layanannya istimewanya, makanannya mahal, tempat tidurnya empuk, kenderaannya mewah, sorak-sorai untuknya meriah, tetapi kebahagian dan ketenangan jiwa belum tentu muncul di celahan itu semua.
Bahkan, berapa ramai manusia dalam dunia ini yang Allah SWT azabkan menerusi harta dan anak pinak mereka. Firman Allah SWT tentang golongan munafik :
(maksudnya)
Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah : ayat 55).

Islam bukan memusuhi harta, tanpa harta bukan punca sebenar ketenangan jiwa. Ramai insan apabila tidak memahami kebesaran Allah SWT menyangka bahawa harta dan kuasa adalah segala-segalanya. Lalu dia menganggap sesiapa yang tidak kaya-raya dan berkuasa adalah sebagai orang yang tidak mendapat kurnian kebahagiaan daripada Tuhan. Seakan kurniaan Tuhan itu hanya tertumpu kepada empunya kuasa dan harta. Anggapan itu adalah kesilapan yang teramat. Ya! Harta dan kuasa boleh menjadi faktor yang membawa ketenangan dan kebahagiaan jiwa jika dikendalikan dengan cara betul. Namun, jika tidak ia boleh bertukar menjadi punca derita dan sengsara. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya tidak dapat tidur lena dalam istana mewahnya, ketika si miskin sedang berdengkur menikmati nikmat tidur dalam rumah usangnya. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak berselera makan di hadapan hidangan mewahnya ketika si miskin dengan begitu enak menikmati sebungkus nasi yang dibalut dengan daun pisang. Maha Agung Allah SWT, Dia memberi kurnian nikmatNya dengan pelbagai cara dan tanpa diduga.

Menceritakan
Berdasarkan satu ceramah Prof.Dr.Hamka R.H dalam satu rakaman. Beliau menceritakan bagaimana suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah dengan seorang kaya melalui sawah padi, tiba-tiba melihat seorang petani yang berehat dari kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan itu amat biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani itu dengan penuh selera.
Lalu orang kaya yang bersama Buya Hamka berkata: “Buya, saya ada rumah besar dan kenderaan mewah, tetapi tidak pernah berpeluang makan begitu berselera seperti petani itu.”
Ya! Demikianlah Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya. Sesiapa yang diberikan makanan yang lazat, belum tentu dapat menikmati kelazatan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya. Maka, tidak hairan jika ada orang kaya, atau yang berkuasa kurang selera makan. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan rumah mewah bapanya. Janganlah pula hairan, jika ada orang miskin yang setiap hari menikmati suapan yang masuk ke dalam mulutnya, dan nyenyak lenanya. Janganlah pula hairan jika ada perasaan yang lebih tenang di pondok using daripada di banglo yang tersergam indah.

Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, namun insan hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah SWT kepadanya. Yang miskin dan yang kaya hendaklah insaf bahawa tujuan daripada makanan dan tempat tinggal yang mewah itu adalah kesedapan dan keselesaan. Bukan semua yang memiliki kemewahan itu pula akan menikmatinya. Juga bukan semua tidak memilikinya, akan terhalang mengecapi kenikmatannya. Maha Besar Allah SWT yang membahagi-bahagikan kurniaan-Nya mengikut kehendak-Nya.


Kadang-kala apabila kita duduk di meja makan bersama orang kaya dan orang biasa. Kita lihat si kaya minum air kosong sahaja. Ditanya kenapa. Jawabnya, “ Saya ada diabetis”. Dia enggan makan kebanyakan lauk-pauk yang lazat telah dihidangkan, katanya, “ Saya ada sakit jantung dan darah tinggi”. Sementara ‘yang biasa-biasa di sebelahnya, makan dengan enak tanpa sebarang pantang.
Ya, memiliki sesuatu, belum tentu dapat menikmatinya. Untuk meminum air kosong dan nasi kosong tidak memerlukan harta yang banyak. Juga air kosong dan nasi kosong biasanya merupakan makanan si miskin yang tidak mampu memiliki. Jika Allah SWT mahu, orang yang berada di tengah kemewahan akan hidup bagaikan si miskin di tengah kefakiran.

Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, tetapi insan wajib insaf bahawa hanya Allah SWT yang menentukan segala kurniaan. Maka jangan kita sombong atas apa yang kita kelihatan memilikinya, dan janganlah pula kita berdukacita atas apa yang tidak Allah SWT kurniakan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah Allah SWT halang orang lain merasainya, kita sangka mereka mengecapinya.
Kita semua harus insaf bahawa pergantungan sebenar dalam kehidupan ini hanyalah kepada Allah SWT. Maka, jangan kita menjadi hina jiwa ini di hadapan orang lain hanya kerana melihat kuasa dan harta yang berada di tangannya, lalu kita sangka mereka memiliki segala-gala. Jikapun kita kurang harta dan kuasa, janganlah kita miskin jiwa.

Apa yang ingin kita buru daripada kehidupan ini adalah ketenangan jiwa dan kebahagiaan perasaan. Bukan sekadar keseronokan atau kegembiraan yang berakhir dengan tamatnya sesuatu pesta atau sorakan semata-mata. Jika kebahagian dan ketenangan yang kita pilih, maka yang dapat memberinya hanyalah Allah SWT. Memiliki harta dan kuasa belum tentu dapat mencapainya. Maka jangan kita mengemis kepada penguasa atau si kaya dalam mencari ketenangan hidup. Merintihlah kepada Allah SWT, hanya Dia yang dapat menganugerahkan kita semua itu.
Firman Allah SWT : (maksudnya “ Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan” (Surah al-Nahl : ayat 97).

Ramai orang yang kita lihat kaya harta, tetapi miskin jiwanya. Kadang-kala mereka mengampu orang lain, sehingga ke peringkat yang memualkan, hanya semata-mata kerana dunia yang diharapkan. Apalah ertinya harta, jika kita miskin jiwa sehingga seakan menjilat orang lain. Harta dan kuasa itu amat diperlukan jika ia menjadikan kita seperti para khalifah yang soleh dan para hartawan yang bersyukur.

Memerdekakan
Islam apabila datang kepada manusia, ia memerdekakan jiwa manusia ini dari menjadi hamba sesama manusia, kepada hanya bertuhankan Allah SWT. Inilah yang disebut oleh Rib’I bin ‘Amir di hadapan Panglima Angkatan Tentera Parsi: “ Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia sempit kepada keluasan dunia dan akhirat”. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/48, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lihatlah Bilal bin Rabah r.a , walaupun pada masa dirinya masih menjadi hamba sahaya kepada tuannya, tetapi Islam telah berjaya memerdekakan jiwanya. Dia tidak tunduk kepada kehendak tuannya yang sesat. Sekalipun tubuhnya diseksa pada terik mentari, namun jiwa merdeka hanya tunduk pada Ilahi. Malanglah seorang insan, jika tubuhnya merdeka, cukup makan dan minum, tiba-tiba jiwanya itu bersifat hamba kepada manusia sehingga melanggari batasan Allah SWT.

Justeru, jika manusia menganggap tangan yang mempunyai kuasa dan harta itulah punca kebahagian dan ketenangan maka mereka akan menjadi hamba sesame manusia. Namun, jika mereka yakin, hanya Allah SWT sahaja yang mampu member kedamaian, maka jiwa mereka akan merdeka. Sesiapa yang menjadi hamba kepada manusia, dia tidak akan menjadi hamba Allah SWT yang sebenar. Sesiapa yang menjadi hamba Allah SWT yang sebenar, dia tidak akan berjiwa hamba sesama manusia.

Sabda Nabi SAW: “ Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)” . (Riwayat al-Tirmizi)

Daripada hadis ini, maka sesiapa yang benar-benar bergantung kepada Allah SWT, jiwanya akan merdeka dan mulia. Juga dunia itu juga akan sampai kepadanya dengan harga dan maruah dirinya tidak tercemar. Sesiapa yang bergantung kepada manusia, mungkin dunia itu akan sampai ke tangannya, tapi dia akan berada dalam kehinaan dan keluh kesah. Kebimbangan yang tidak putus akan sentiasa menjelma antara kedua matanya, kerana pergantungannya lemah. Orang mukmin yang sebenar bergantung kepada Allah SWT, Raja segala raja, Pemilik seluruh alam semesta. Sementara yang berjiwa hamba kepada manusia, akan bertawakal kepada raja atau pemimpin yang menunggu hari untuk mati atau ditumbangkan oleh orang lain seperti Raja Nepal.

Islam mengajar kita berjiwa merdeka, sekalipun kita miskin harta, gelaran dan pangkat. Jiwa yang merdeka daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk hanya untuk Allah SWT itulah yang membawa kepada kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita memerlukan para pemimpin, sahabat handai, orang bawahan yang berjiwa merdeka.

Kita perlu mencontohi Pahlawan Islam,Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Beliau pernah menjadi sultan yang memerintah dari Mesir hingga ke Yaman, namun kehidupan beliau tidak semewah kehidupan pembesar-pembesar lain. Ketika Pahlawan Islam itu meninggal dunia, beliau tidak mempunyai rumah,istana dan hanya mempunyai wang simpanan 4 dinar sahaja.Seperti yang diperkatakan sebentar tadi,Islam mengajar kita berjiwa merdeka, sekalipun kita miskin harta, gelaran dan pangkat.Sesungguhnya Allah memandang seseorang hamba itu bukan pada hartanya,paras rupanya,kebendaannya atau sebagainya, tetapi Yang Maha Esa hanyalah memandang pada hambanya hanyalah pada satu organ. Organ itulah yang dipanggil 'Qalbu'.



Mutiara Kata & Wasiat

Tiada pusaka peninggalan yang lebih bermanfaat daripada elok budi pekerti.”
(Wasiat Saidina Ali r.a)

Dunia hanya jambatan kecil untuk menuju kehidupan besar yang kekal abadi. Kerana itu jangan rosakkan jambatan itu dengan keperluan dunia yang berlebihan sehingga jambatan itu rosak.
(Wasiat Imam Al-Ghazali)
1

Tentera Allah (Ikan)

Alhamdulillah, dengan izin Yang Maha Esa hari ini dapat juga post kat blog.Dapat kongsi cerita kepada saudara² & saudari² sekalian untuk menjadi hidangan masa lapang kita pada bulan yang Mulia ini..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
In The Name of Allah, Most Gracious, Most Merciful



Seorang nelayan bersusah payah mengail ikan bagi makanan seisi keluarga. Ketika dia mendapat seekor ikan yang masih mengelapar di mata kail, tiba-tiba datang orang lain merampasnya.


Setelah puas berusaha tetapi si perampas tetap tidak mengembalikan ikan tersebut. Akhirnya beliau menadah tangan berdoa mengadu kepada Yang Maha Esa yang berbunyi:


“Ya Allah, mengapa Engkau ciptakan aku sebagai orang yang lemah dan Engkau ciptakan orang lain lebih kuat dan gagah sehingga dia sesuka hatinya merampas hak milikku ? Maka ciptakanlah Ya Allah makhluk yang lebih kuat dari dia. Kalahkan dia agar menjadi iktibar baginya”

Keluahan dan doa tadi tidak menakutkan perampas tadi malah dia terus membawanya pulang ke rumah dan dimasak mengikut citarasanya. Ketika beliau mencubit isi ikan, tiba-tiba dia tercucuk duri ikan tersebut. Tangan yang tersusuk duri itu semakin sehari semakin parah dan tidak sembuh-sembuh walaupun telah banyak berikhtiar. Akhirnya beliau berputus asa.

Pada satu malam beliau bermimpi seolah-olah mendengar kata-kata pemancing ikan. “Kembalikan ikan itu kepada pemiliknya ! kembalikan ! Itu bukan hakmu....!

Dia lantas terbangun dan menyedari kesalahan dirinya. Dia telah merampas ikan tersebut daripada seorang pemancing tempohari. Dia mesti mengembalikannya semula dan memohon kemaafan daripada pemancing tersebut.

Setelah penat berusaha, akhirnya beliau berjumpa juga dengan pemancing tersebut. Lantas dia menyerahkan wang 10,000 dirham sebagai gantirugi dan barulah hatinya lega.
Dengan kehendak Allah luka di tangannya beransur pulih dan semua penderitaannya selama inipun berakhir.

* Ada hadis berbunyi, dari
Abi Said Al-Khudri yang bermaksud : “Rasulullah saw telah bersabda : Barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Oleh Muslim)
Mengubah dengan hati itu ialah Doa kepada Khaliq
 
Copyright © The Truth Of Life